Apa itu 'zina hati' ? (part 2)
CONTOH-CONTOH KEKELIRUAN
1) "Astaghfirullahalazim! Apa yang telah aku lakukan? Bukankah berhubung dengan berlainan mahram sehingga membibitkan perasaan cinta itu HARAM berdosa"
Komen saya: Alangkah jahilnya. Bagaimana mungkin perasaan cinta yang timbul dalam hati itu dianggap haram dan berdosa???
2) Zinanya
hati ini berlaku apabila hati kita menginginkan sesuatu yang haram bagi
kita secara berlebih-lebihan. Sebagai contoh, keinginan itu seperti
ingin dirindui, dicintai, dibelai, mengingati si dia lebih daripada kita
mengingati Tuhan.
Komen
saya: Masih gagal memahami maksud zina hati dengan baik. Yang pertama
katanya zina hati adalah: Menginginkan perkara haram secara berlebihan.
Kalau begitu, menginginkan perkara haram secara tak berlebihan tu kira oklah ya???
Yang
kedua, contoh yang diberikan itu satu pun tidak termasuk dalam zina
hati, hal-hal itu bukan termasuk dalam bab zina hati, tetapi termasuk
dalam bab lagho dan melakukan perkara yang harus dengan berlebihan.
3)
Seorang lelaki teringatkan perempuan, itu zina hati kan? Saya pun
kurang jelas dgn konsep zina hati ni. Jadi maknanye kalau teringat saja
kat bukan mahram kite tu dah kira zina ya? Satu lagi, lelaki tersebut
sahaja yg berdosa atau pun keduanya?
Komen
saya: Lelaki ingatkan perempuan itu zina hati? Perempuan ingatkan
lelaki zina hati? Heheh… luasnya skop. Kalau macam tu, lelaki lepas ni
janganlah ingat kepada ustazah kat sekolah, perempuan pula jangan
ingatkan ustaz kat sekolah. Itu semua zina hati tu, berdosa tau
tak…hehe. Come on lah, sudahlah maksud zina hati itu pun tak faham, mudah-mudah sahaja memberi pandangan.
Adapun
soal siapa yang berdosa dalam hal ini, jawabnya tiada sesiapa yang
berdosa baik lelaki mahupun perempuan kerana itu bukan zina hati.
4) Saya
ada kemusykilan di sini. Seandainya pasangan ini sudah berniat untuk
berkahwin, adakah rindu antara mreka juga dikatakan zina hati?
Maka menjawablah seorang ustazah: “Yap!! selagi belum berkahwin”
Komen
saya: Soalannya bagus. Tetapi jawapan yang diberikan oleh ustazah itu
cukup mengecewakan. Ustazah, tolonglah fahami maksud zina hati itu
dengan baik sebelum memberikan jawapan. Boleh ustazah?
5) Dalam tak sedar, kita boleh melakukan zina. Benda yang kita tak nampak, tapi dosa besar.
Dalam diam, kita dah lakukan zina. Bukan dari luaran, tapi dalaman.
Astghfirullahala'zim. Kita sekarang terlalu terdedah dengan benda-benda
yang lagho. Lupa mengingati Allah.
Komen
saya: Dosa besar??? Sejak bila pula zina tangan, kaki, mata, mulut,
hati itu tergolong dalam dosa besar??? Telah saya jelaskan bahawa itu
semua termasuk dalam kategori dosa kecil yang disebut sebagai Al-Lamam.
Dosa sebegini terampun hanya dengan melakukan perkara kebaikan biasa
seperti berwudhuk, solat, zikir dan sebagainya lagi tanpa memerlukan
taubat khusus.
Soal
lagho dan lupa mengingati Allah itu soal lain. Kalau nak bercerita
tentang lupa mengingati Allah ni, semua manusia tidak terlepas
termasuklah para sahabat Nabi terdahulu kerana kita adalah manusia bukan
malaikat. Cubalah menjadi manusia yang baik, jangan cuba menjadi
malaikat.
Seorang
sahabat Nabi bernama Hanzalah mengadu kepada Nabi dengan berkata:
“Wahai Nabi, sesungguhnya Hanzalah telah menjadi munafiq”. Nabi berkata:
(Apa maksudmu?). Kata Hanzalah: “Apabila kami berada bersama Kamu, kami
ingat kepada Akhirat, tetapi apabila kami pulang bersama keluarga,
anak-anak, dan harta kami, kami banyak lupa”. Sabda Nabi: (Demi
Allah yang diriku dalam kekuasaanNya, kalau kamu terus kekal seperti
hal kamu ketika bersamaku, nescaya malaikat akan berjabat tangan dengan
kamu di bilik kamu dan jalan-jalan. Tetapi Hanzalah, ada masa masanya). Riwayat Imam Muslim (8/95, no 4937)
6) Jika
kita rindu seseorang ajnabi kerana kita memang couple dengan dia, tak
kiralah berjumpa atau tidak, itu dikira zina hati. Kalau tak couple,
tapi mungkin minat, dan lama-lama jadi rindu jika tak berjumpa, pada
mulanya fitrah, tetapi apabila tak dikawal, dielak, tak mujahadah, itu
boleh menjadi zina hati.
Komen
saya: Pulak dah, ada beza pula ya antara yang bercouple dengan tak
bercouple. Jawapan yang langsung tiada asas ilmu, sekadar mengagak-agak.
7)
Saya selalu digosip kawan-kawan dengan seseorang, bila nama orang tu
disebut-sebut, saya akan teringat kepada dia dan ini menyebabkan saya
terpalit dengan dosa zina hatikerana mengingati seseorang yang bukan mahram dengan saya. Astaghfirullah, moga-moga Allah mengampuni dosa saya.
Komen
saya: Oh ya ke, kalau begitu lepas ni janganlah ingat langsung kepada
sesiapa yang bukan mahram anda. Sepupu anda, cikgu anda, pak guard
sekolah anda, perdana menteri Negara anda, kerana itu semua bukan mahram
anda tu. Zina hati tu… Hai, mudah-mudah saja membuat hukum ya.
8) Nak
tanya sekejap. Zina hati tu dikira apabila kita teringat seseorang yg
berlainan jantina untuk seketika atau teringat selalu hingga termenung?
Menjawablah seorang rakannya: “Teringat seketika atau selalu tetap salah. Sebab kita ni kena selalu ingat kepada ALLAH”.
Komen
saya: Hohohoho…I’m speechless. Tak sangka, ada juga jawapan sebegini.
Teringat seketika pun tak boleh ya, kena selalu ingat Allah sepanjang
masa 100 peratus ya. Macam tu sahabat Nabi pun kalah dengan awak. Hebat
betul awak ya, sama taraf dengan malaikat.
Dalam
Al-Qur’an pun Allah tak suruh kita ingat kepadaNya sentiasa kerana itu
adalah perkara yang mustahil dan ulama menyebut bahawa Allah tidak
sekali-kali membebankan manusia dengan perkara yang mustahil untuk
dilakukan.
Sebab
itu, Allah hanya menyuruh kita supaya banyak ingat kepadaNya, bukan
selalu ingat kepadaNya. Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab, ayat ke-41:
((يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً))
Maksudnya: ((Wahai orang-orang yang beriman, ingatilah Allah dengan ingatan yang banyak)).
9) Sekarang
ni saya tengah buntu. Saya sekarang bercinta dengan seseorang. Tapi
kami mahukan perhubungan kami diredhai Allah. Tetapi baru-baru ni saya
ada baca nota yang mengatakan bercinta adalah haram dalam Islam. Betul
ke? bercinta juga mendekatkan diri kepada zina iaitu zina hati. merindui
dan mengingati antara satu sama lain. Jadi, apakah yg perlu saya buat?
Maka
berfatwalah seorang rakannya: “Bercinta tu memang haram. Bila dah
bercinta kita selalu rindu, kadang-kadang ingat kat dia dan macam-macam
lagi. Itulah yang dinamakan zina hati. Sebab itu, bercintalah selepas
kahwin.
Komen
saya: Sama juga masalah dengan mereka yang sebelum ni. Keliru dengan
maksud bercinta, lepas tu tak memahami erti zina hati.
Adapun
soal bercinta sebelum atau selepas kahwin, kalau dimaksudkan dengan
perasaan cinta, maka bagi saya perasaan cinta itu perlu ada sebelum
kahwin bukan selepas kahwin, manakala aktiviti percintaan itulah yang
dilakukan selepas kahwin. Sebab itu Nabi menyuruh sahabatnya kalau nak
melamar perempuan tu tengok dulu, supaya timbul perasaan cinta dalam
hati. Kalau setelah melihat tapi tidak timbul rasa cinta dan berkenan
tu, maka cari yang lain.
9)
Bagi saya memang zina hati susah utk dihindari terutama zaman sekarang.
Lebih-lebih lagi zaman teknologi sekarang. Walaupun dengan bermesej,
boleh diragukan kita buat zina tangan. Itu zina tangan, kalau dah zina
luaran, macam mana pula dalaman?
Komen
saya: Astaghfirullah, pandangan yang penuh dengan ta’annut dan
tasyaddud. Gagal dalam memahami maksud zina hati dan zina kecil yang
lain. Bermesej di telefon itu zina tangan?? Kalau anda bermesej mengajak
kepada persetubuhan, semestinya itu zina tangan, tapi kalau sekadar
bertegur sapa pun nak dilabelkan sebagai zina, maka anda tersasar jauh.
Memang
berhubung antara lelaki dan perempuan hanya perlu apabila ada
keperluan. Tapi kalau tiada keperluan dan sekadar menggatal, tidak boleh
sewenang-wenangnya dengan mudah mengkategorikan hal itu dalam bab zina
tangan tetapi dikategorikan dalam bab buat perkara lagho tak berfaedah.
Sudahlah
gagal memahami maksud zina-zina kecil tu, gagal pula membezakan antara
mereka yang melakukan zina kecil dengan mereka yang melakukan
perkara-perkara lagho tak berfaedah.
10) Zina hati sebenarnya apabila kita mengingati seseorang secara berlebih-lebihan.
Komen saya: Fahaman yang juga tersasar.
11)
Macam mana kalau teringatkan lelaki yang kita hanya pernah berjumpa
dengannya dalam mimpi, tapi kita tak kenal pun kat alam nyata ni, kira
zina hati juga ke?
Komen saya: Lihat bagaimana kegagalan memahami maksud zina hati menyebabkan timbulnya soalan-soalan yang tak sepatutnya timbul.
12)
Saya pun ada juga zina hati ni kerana teringatkan kawan lelaki. Nak
buat macam mana nobody's perfect except our prophet. Tapi macam yang dah
dinasihatkan oleh rakan supaya bila teringatkan seseorang (si dia) kita
hendaklah membaca Al-fatihah supaya kita ingat dia kerana Allah.
Komen
saya: Gagal dalam memahami zina hati dan mengenal pasti penyakit
sebenar, kemudian cuba mereka-reka ubat sendiri. Baca Al-fatihah supaya
kita ingat dia kerana Allah??? Hehe…lucu juga dengan petua yang
diberikan.
13)
Memang susah nak hindari zina hati. Susah sangat. Apabila teringatkan
si dia, susah nak lupakan. Tapi nak tanya ni, apa dosanya kalau kita
buat orang lain zina hati? Contohnya: Kita buat orang lain berkenan kat
kita.
Komen saya: Masih juga tak faham-faham dengan maksud zina hati.
14)
Zina hati yang paling ketara dalam jiwa remaja zaman sekarang adalah
kamu merindui si dia, kamu sentiasa terbayang si dia, kamu tak dating,
tak jumpa dgn si dia, tak keluar makan-makan, tapi
kamu masih terbayang pada si dia. Bukti yang paling ketara, inbox kamu
penuh dgn mesej si dia. Bayangkan sahaja, seorang remaja yg cukup
komited dgn dakwah tetapi mereka bercinta. Bayangkan presiden BADAR kat
sekolah bercinta. Ya Allah! tak dating, tak keluar makan-makan, tak
berutus surat, tapi saling berbalas mesej dengan beralasankan "Eh takpe,
aku hantar mesej pasal hadis la kat dia. Saling nasihat menasihati".
Astaghfirullah, itulah contoh-contoh zina hati. Nama pun hati, mesti la
dalam hati. Betul tak?
Komen
saya: Tak betul langsung. Saudara, itu tidak termasuk dalam bab zina
hati. Itu gedik dan mengada-ngada termasuk dalam bab buat
perkara-perkara tak berfaedah atau lagha. Saya lebih suka mengistilahkan
percintaan sebegitu sebagai percintaan yang “poyo”. Percintaan pra-matang remaja baru nak up.
Sabda Nabi: (Antara keelokan Islam seseorang itu, dia meninggalkan apa yang tak patut baginya).
Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi (4/558, no 2317) dan dia berkata:
Gharib. Juga diriwayatkan oleh Ibnu Majah (2/1315, no 3976) dan Ibnu
Hibban dalam kitab Sahihnya (1/466, no 229).
14)
Sebenarnya, saya ada satu soalan. Begini, seorang lelaki amat
menyayangi seorang perempuan bukan mahram ini, tetapi dia tidak
merinduinya. Adakah ini tergolong dalam zina hati juga? Sebab saya masih
tak berapa jelas dengan maksud zina hati.
Komen
saya: Apabila gagal untuk memahami zina hati dengan baik, kemudian
dimomokkan pula dengan fahaman-fahaman yang salah tentang zina hati,
maka diri sendiri mencari jalan keluar dengan mereka-reka perkara yang
tak masuk akal. Seorang kekasih menyintai kekasihnya, tetapi mereka
tidak rindu, adakah ini juga termasuk dalam zina hati? Ahaha…
Tolonglah
fahami maksud zina hati itu dengan baik, perasaan cinta antara kekasih
dengan kekasihnya tidak dikira zina hati, juga perasaan rindu. Kalaupun
perasaan cinta dan rindu itu melampaui batas, itu tidak termasuk dalam
bab zina hati, itu termasuk dalam bab berlebih-lebih dalam
perkara-perkara yang harus. Yang menjadi zina hati adalah perasaan atau
keinginan hati untuk melakukan dosa zina iaitu bersetubuh dengan kekasih
tersebut. Faham!!!
15)
Saya takut diri saya terjebak dengan “zina hati” apabila saya teringat
pasal si dia. Biasanya, saya akan membayangkan saat-saat kami berjumpa,
kata-kata dia dan kadang-kadang saya macam berangan-angan berumah tangga
dengan dia. Selalu terbayang dalam fikiran saya, kehidupan kami sebagai
suami isteri contohnya, saya masak untuk dia, bermesra dengan anak-anak
dan sebagainya. Itu memang selalu saya fikirkan. Adakah itu salah satu
dari “zina hati”? Saya juga tak boleh kawal perasaan rindu setelah kami
berjauhan. Perasaan tu la yang buat saya lalai sedikit sebanyak. Saya
cuba tenangkan fikiran saya dengan solat sunat, baca Al-Quran tapi tu
tak kekal
lama.
Komen
saya: Amboi-amboi, jauhnya akak berkhayal. Itu bukan zina hati tu kak,
itu angau namanya. A N G A U: Angau. Parah benar nampaknya tu. Walaupun
bukan termasuk dalam zina hati, tetapi eloklah dielakkan perkara-perkara
lagho sebegitu, sibukkan diri dengan perkara-perkara berfaedah, jangan
sampai terbuang masa kerana berkhayal.
16) Saya
telah mengambil keputusan meninggalkan pasangan saya kerana saya tahu
ianya sesuatu yang bertentangan dengan Islam. Dan alhamdulillah saya
juga telah mengambil langkah dengan bernikah dengan seorang gadis
melalui cara yang lebih baik iaitu melalui pernikahan secara Islamik.
Komen
saya: Astaghfirullah, bercinta dengan seorang gadis, kemudian merasakan
perkara itu sebagai salah lalu memutuskan hubungan. Kemudian mengambil
langkah penyelesaian dengan berkahwin dengan gadis lain?
Mengapalah
“terlampau cerdik” sampai ke tahap ini??? Kalaupun anda merasakan
hubungan anda itu salah dan berdosa, apa yang anda perlu lakukan adalah
bertaubat daripada dosa dan membaiki dosa tersebut.
Firman Allah dalam Surah Al-Ma’idah, ayat ke-39.
((فَمَنْ تَابَ مِنْ بَعْدِ ظُلْمِهِ وَأَصْلَحَ فَإِنَّ اللَّهَ يَتُوبُ عَلَيْهِ))
Maksudnya: ((Sesiapa
yang bertaubat selepas kezaliman yang dilakukan dan membaiki
kesilapannya maka sesungguhnya Allah akan mengampunkan dosa ke atasnya)).
Seorang
pencuri, apabila sedar dan insaf atas dosa yang dibuat, maka dia perlu
bertaubat daripada dosa mencuri tersebut, dan membaiki dosa tersebut
dengan memulangkan kembali segala barang-barang yang dicuri.
Seorang
lelaki yang bercinta dengan seorang perempuan sehingga terjebak ke
dalam perkara-perkara dosa, apabila sedar dan insaf perlulah bertaubat
daripada dosa yang dilakukan, dan membaiki dosa tersebut. Bagaimana
untuk membaiki dosa tersebut? Iaitulah dengan mengahwini perempuan itu.
Bukannya
dengan memutuskan hubungan dan kemudian berkahwin dengan perempuan
lain. Mengapa mahu berkahwin dengan perempuan lain sedangkan si dia ada
dan masih menyimpan cintanya terhadap kamu?
Adakah
pada pandangan anda perempuan itu tidak layak diperisterikan kerana
sudah ternoda? Ooo, kiranya kamu bersihlah tiada noda? Siapa yang
menodainya? Kamu juga. Kononnya nak mencari yang suci bersih walhal diri
sendiri terpalit dengan kekotoran. Jenis manusia yang tak sedar diri.
17)
Ana dulu pun couple gak. Sejak sekolah sampai dah masuk universiti,
dekat nak gred. Tapi apabila ana sedar apa yang ana buat ni salah, ana
terus tinggalkan walhal ana siap dah fikir, dialah bakal isteri ana,
yang akan jadi ibu kepada anak-anak ana.
Komen
saya: Ke’tidak cerdikan’ yang sama berulang. Anda dah punya niat suci
untuk memperisterikannya, kemudian memutuskan hubungan itu setelah
merasakan hubungan itu salah pada pandangan anda.
Sepatutnya,
baikilah apa yang anda rasakan salah itu dan teruskan niat suci anda
untuk memperisterikannya. Semudah itu pun masih tak faham? Mengapa masih
juga mengambil tindakan yang tak cerdik?
MANHAJ DALAM MEMAHAMI AGAMA
Tidak
dinafikan, adakalanya mereka yang baru menceburkan diri dalam bidang
dakwah atau mereka yang baru menemui jalan keinsafan, mereka mempunyai
semangat yang meluap-luap berjuang untuk Islam. Tapi masalahanya
semangat yang meluap-luap tanpa latar belakang ilmu yang kuat boleh
menyebabkan perjuangan yang dibawa itu merosakkan lebih daripada
membaiki.
Semua
tak boleh, itu zina, ini zina, itu haram, ini haram sehingga
menyempitkan ajaran Islam yang luas dan membesar-besarkan perkara lebih
daripada skop asalnya.
Walhal manhaj dakwah yang sebenarnya adalah manhaj berasaskan وسطية /wasatiyyah
(pertengahan). Tidak dinafikan, kalau orang itu dilihat
mempermudah-mudahkan urusan agama maka kita perlu memberikan peringatan
keras kepada mereka. Sebaliknya pula kalau orang itu dilihat terlalu
memayah-mayahkan agama maka kita perlu memudahkannya bagi mereka. Namun,
semua itu perlu dilakukan atas dasar ilmu. Bukan sewenang-wenangnya.
Sebagai
contoh, apabila wujud sebahagian daripada sahabat Nabi
mempermudah-mudahkan urusan berwudhuk sehingga tidak meratakan air ke
tempat-tempat yang sepatutnya, maka Nabi memberikan amaran keras kepada
mereka berupa seksaan api neraka.
Sebaliknya
apabila ada pula sebahagian sahabat yang memayah-mayahkan urusan
berwudhuk sehingga membasuh anggota wudhuk secara berlebihan, maka Nabi
berkata bahawa basuhan wudhuk itu hanya tiga kali. Andainya masih wujud
keraguan dalam hati tidak rata, maka usah dilayan, itu hanya was-was
syaitan.
Caranya
adalah bersikap keras kepada mereka yang nampak mempermudah-mudahkan
agama, dan bermudah-mudah bagi mereka yang nampak memayah-mayahkan
agama. Tetapi perlu diletakkan dalam kepala bahawa tujuan akhirnya
adalah supaya kedua-dua golongan tersebut kembali kepada kesederhanaan
dalam beragama.
Kata
Imam Syatibi: Andai kamu melihat kepada keseluruhan syariat maka engkau
akan dapati syariat itu cenderung kepada pertengahan. Andai kamu
melihat ada kecenderungan kepada sisi terlampau memudahkan atau sisi
terlampau menyusahkan maka itu bagi berhadapan dengan lawannya daripada
sisi lain.
Sisi
memayahkan (kebanyakannya pada menakutkan, menggerunkan, melarang)
didatangkan bagi berdepan dengan mereka yang cenderung mempermudahkan
agama.
Sisi
memudahkan (kebanyakannya pada pengharapan, galakan, dan rukhsah
kemudahan) didatangkan bagi mereka yang cenderung memayahkan agama.
Kalau
tiada masalah pada kedua-duanya maka aku melihat pertengahan itu lebih
utama, dan jalan kesederhanaan itu jelas, dan itulah kaedah asal yang
menjadi rujukan dan pusat yang menjadi tempat pergantungan”. (Rujuk
Kitab Al-Muwafaqat oleh Imam Syatibi, jilid 2 , m/s 286, cetakan Dar
Ibni Affan)
Janganlah
terlampau mempermudahkan dan jangan terlampau menyusahkan. Ambil jalan
pertengahan. Untuk pesakit darah tinggi, berikan ubat yang menurunkan
kadar tekanan darahnya kepada kadar tekanan normal. Pesakit darah rendah
pula, berikan ubat yang meninggikan kadar tekanan darahnya kepada kadar
tekanan tahap normal. Apa yang penting adalah memastikan kenormalan
tekanan darahnya.
Akhir
kata, semoga segala penjelasan itu dapat dicerna dengan baik. Andai
timbul sebarang persoalan tak faham lagi berkenaan zina hati, maka bak
kata rakan saya: “Sila hantukkan kepala anda ke dinding”….hehe sekadar
bergurau. Jangan lagi membesarkan isu lebih daripada skop yang
sepatutnya.
Sememangnya
muhasabah diri sama ada terpalit dengan dosa atau tidak itu memang
sesuatu yang bagus. Tapi men’dosa’kan diri dengan perkara yang bukan
dosa itu bukan daripada ajaran agama, itu adalah ta’annut dan tasyaddud
yang ditegah dalam beragama.
Islam
tidak datang untuk menjadi musuh kepada naluri dan perasaan manusia
tetapi untuk memberikan pedoman dan tunjuk ajar supaya manusia dapat
mengawal naluri dan perasaannya ke arah kebaikan. Dengan itu dapatlah
kita menjadi manusia yang baik bukan menjadi malaikat yang baik.
Sekian, wassalam.
Ahmad Fathi Bin Muhammad
Ahad, 9 Rabi’ul Awwal 1432 bersamaan 12 Februari 2011
Marrakech, Maghribi.
fathifawwaz@yahoo.com
No comments:
Post a Comment