Apa itu 'zina hati' ? (part 1)
Artikel ini saya ambil daripada karangan ustaz Fathi (pelajar master jurusan pengajian islam di Maghribi).
Semoga apa yang baik dapat kita ambil dan jadikan pedoman,
dan apa yang buruk sama2lah kita tinggalkan. :-)
-gambar hiasan-
“Apabila saya terlibat dengan kerja dakwah, barulah saya tahu saya telah banyak melakukan zina hati,” kata seorang pemuda.
“Itulah
dulu pun saya ada kekasih, dan kami saling cinta menyintai dan
merancang untuk berkahwin apabila sampai masanya, tapi apabila saya tahu
hubungan saya dengan dia tu menyebabkan saya dan dia terjebak dengan
zina hati maka saya putuskan”
Seringkali
saya mendengar kata-kata seperti itu keluar melalui kata-kata atau
tulisan daripada mereka yang melibatkan diri dengan gerak kerja
persatuan-persatuan Islam atau kerja-kerja dakwah remaja.
Pada
mulanya saya buat tak kisah atau dengan kata lain buat tak pot kerana
saya menganggap kes-kes itu sebagai kes terpencil yang biasanya berlaku
di zaman sekolah menengah. Biasalah tu budak-budak sekolah yang baru
dalam proses pra-matang kepada matang, baru nak up orang kata,
pedulikanlah.
Tapi
apabila ada pelajar di peringkat universiti yang mengeluarkan
kenyataan-kenyataan mirip sebegitu, saya mula tertanya-tanya dan bersyak
wasangka, “eh takkanlah pelajar universiti yang bakal keluar sebagai
pemimpin masyarakat pun tak faham-faham lagi, mustahillah”.
Tapi
ternyata, sangkaan saya itu meleset sama sekali. Mimpi buruk melanda
diri setelah melancong ke laman-laman web internet yang mempromosikan
keislamikkan mereka. Saya terkejut apabila mendapati ketempangan yang
cukup serius dalam memahami apa yang diistilahkan sebagai zina hati.
MAKSUD ZINA HATI DAN ZINA KECIL YANG LAIN
Sabda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam:
(إِنَّ
اللهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا أَدْرَكَ ذَلِكَ
لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا الْعَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ
الْمَنْطِقُ، وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ
ذَلِكَ وَيُكَذِّبُهُ). رواه البخارى (6/2438، رقم 6238)، ومسلم (4/2046،
رقم 2657)، وأبو داود (2/246، رقم 2152)، والبيهقى فى شعب الإيمان (4/365، رقم 5428).
وفي رواية مسلم: (كُتِبَ
عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنْ الزِّنَا مُدْرِكٌ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ
فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالْأُذُنَانِ زِنَاهُمَا
الِاسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلَامُ وَالْيَدُ زِنَاهَا
الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى
وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ).
Maksudnya: (Sesungguhnya
Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas
anak-anak Adam. Zina mata itu adalah pandangan, zina lidah itu adalah
ucapan, nafsu mengharap dan berkeinginan, dan kemaluan itu mengiyakan
atau mendustakannya). Hadith riwayat Bukhari (6/2438, no
6238), Muslim (4/2046, no 2657), Abu Daud (2/246, no 2152), dan Imam
Baihaqi dalam Shu’ab Iman (4/365, no 5428).
Dan dalam riwayat Imam Muslim: (Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam. Mata itu zinanya pandangan, telinga itu zinanya mendengar, lidah itu zinanya ucapan,tangan itu zina melakukan kekerasan, kaki itu zinanya langkah, dan hati itu mengharap dan berkeinginan, dan mengiyakannya kemaluan atau mendustakannya)
Hadith
pertama menggunakan istilah zina nafsu, manakala hadith yang kedua pula
menggunakan istilah zina hati. Hadith inilah yang menjadi hujah tentang
wujudnya zina yang dinamakan dengan zina hati dan tidak syak lagi
hadithnya adalah hadith yang sahih.
Tidak
dipertikaikan kewujudan istilah zina hati dan asasnya dalam Islam,
tetapi apa yang dipertikaikan adalah kegagalan ramai daripada kalangan
mereka yang bercakap tentangnya untuk mengupasnya secara ilmiyyah
sehingga adakalanya membuatkan remaja dan pemuda salah faham yang
seterusnya menyebabkan berlakunya pemikiran yang tempang dalam beragama.
Apakah
sebenarnya yang dimaksudkan dengan zina hati? Adakah jatuh cinta kepada
seseorang itu dianggap zina hati? Adakah teringatkan seseorang itu zina
hati? Mungkin sebahagian daripada kita akan menjawab: “Ya, itulah zina
hati”. Apabila ditanya lagi mengapa itu zina hati? Jawab mereka: “Kerana kita mengingati seseorang yang ajnabi (bukan mahram) yang tidak halal buat kita”!!!
Kalau
anda meletakkan sebab pengharamannya adalah kerana dia ajnabi tidak
halal bagi kita, bagaimana anda mahu menafsirkan firman Allah dalam
Al-Qur’an tentang Sahabat Nabi yang teringatkan perempuan ajnabiyyah
yang tidak halal buatnya?
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke-235:
))عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ سَتَذْكُرُونَهُنَّ وَلَكِنْ لا تُوَاعِدُوهُنَّ سِرّاً إِلَّا أَنْ تَقُولُوا قَوْلاً مَعْرُوفاً((
Dalam ayat ini dan ayat sebelumnya, menceritakan tentang عدة/
iddah (tempoh suci) perempuan yang bercerai dengan suaminya. Kemudian
ada lelaki ajnabi yang mengintai-intai peluang untuk melamar perempuan
ini. Lalu Allah berfirman ((Allah
Maha Mengetahui bahawa kamu akan mengingati perempuan tersebut, tetapi
jangan kamu berjumpa dengan perempuan itu secara rahsia kecuali dengan
berkata-kata perkara yang baik)).
Syed
Qutb dalam tafsirnya berkata: “Dan Allah telah mengharuskannya kerana
itu berkaitan dengan kecenderungan fitrah yang halal pada asalnya, harus
pada zatnya … dan Islam itu tidak menghancurkan kecenderungan fitrah
tetapi membajainya, dan tidak menekan naluri kemanusiaan tetapi
mengawalnya. (Rujuk Fi zilali Qur’an oleh Syed Qutb, jilid 1, m/s 238).
Bukankah
perempuan yang baru berpisah dengan suaminya merupakan perempuan
ajnabiyyah kepada lelaki lain yang mahu melamarnya??? Tapi mengapa Allah
langsung tidak mengatakan kepada lelaki ajnabi itu tak boleh mengingati
perempuan tetapi hanya berpada dengan berkata ((Allah Maha Mengetahui bahawa kamu akan mengingati perempuan tersebut tetapi jangan kamu berjumpa dengan dia secara rahsia)).
Justeru
apa yang dapat difahamai daripada ayat tersebut adalah: Tiada masalah
dalam mengingati perempuan tersebut, tapi jangan fikir nak buat yang
bukan-bukan yang bertentangan dengan syarak’. Itulah apa yang sepatutnya
difahami daripada firman Allah tersebut.
Kalau
mengingati perempuan yang ajnabiyyah itu zina hati, tentunya Allah
melarang para sahabat daripada mengingati perempuan, tetapi Allah
sendiri tidak melarang bahkan memberi izin.
Justeru,
yang dimaksudkan dengan zina hati itu adalah hati yang menaruh niat
untuk berzina, menikmati hubungan persetubuhan luar nikah. Itu yang
dimaksudkan dengan zina hati. Rujuk kembali konteks hadith berkaitan
zina hati secara keseluruhan. Tidakkah di pengakhiran hadith tersebut
Nabi ada menyebut:
)وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ وَيُكَذِّبُهُ(
Maksudnya:
(dan kemaluan itu mengiyakan atau mendustakannya). Bermakna semua
perkara daripada tangan, kaki, telinga, mata, lidah, hati yang menuju ke
arah persetubuhan haram barulah dipanggil dengan zina. Sebab itu
disebut di pengakhiran hadith (Kemaluan itu yang akan menentukan berlaku
atau tidak berlakunya zina).
Sebab itu Ibnu Mas’ud menambah dengan katanya:
"فإن صدقه بفرجه كان زانيا وإلا فهو اللمم" أخرجه البيهقي في شعب الإيمان (5/393، رقم 7060)
Maksudnya:
“Jika dia mengiyakannya (kehendak berzina) dengan kemaluannya maka dia
menjadi penzina, jika tidak maka itu adalah Al-Lamam (dosa kecil)”.
Dikeluarkan oleh Imam Baihaqi dalam kitabnya Shu’abul Iman (5/393, no
7060).
Jadi,
zina kecil yang disebutkan itu adalah yang mengarah pada hubungan
kelamin luar nikah. Oleh itu, melihat bukan mahram bukanlah serta-merta
boleh digolongkan sebagai zina mata. Yang tergolong “zina mata” adalah
pandangan yang menggoda dan penuh syahwat.
Dengan
itu juga, menyampaikan kata-kata mesra kepada bukan mahram bukanlah
semestinya tergolong sebagai “zina lisan”. Yang tergolong sebagai “zina
lisan” adalah kata-kata pujuk rayu dan godaan kepada nafsu berahi.
Begitu
juga halnya dalam masalah mengingati atau merindukan si dia atau pun
merasakan getaran di hati ketika memikirkan si dia, bukanlah serta merta
boleh tergolong sebagai “zina hati”. Pengertian “zina hati” adalah
mengharap dan menginginkan kepada persetubuhan luar nikah sebagai
memenuhi syahwat.
EKSTREMIS DI DALAM ISU ZINA HATI
“Melihat perempuan itu haram”
“Mendengar suara perempuan itu haram”
“Mengingati bayangan perempuan itu haram”
“Semua itu adalah zina”
Biasa
mendengar klausa-klausa kata sebegitu?...hehe. Banyak kali dengar kan?
Mungkin agaknya mereka mahu menjadikan perempuan itu sebagai makhluk
haram di atas planet bumi ini, dan bagi perempuan pula mereka mahu
menjadikan makhluk lelaki sebagai makhluk haram di atas planet bumi ini.
Sampai
begitu sekalikah pandangan anda tentang pengharaman segala yang datang
daripada perempuan atau segala yang datang daripada lelaki? Sedangkan
khinzir pun tidak sampai ke tahap itu diharamkan dalam Al-Qur’an. Yang
hanya diharamkan adalah makan dagingnya sahaja.
Apakah
sebenarnya pengharaman dalam masalah perhubungan antara lelaki dan
perempuan? Adakah perempuan itu haram semata-mata kerana dirinya حرام لذاته / haram lizatihi, atau haram kerana perkara luaran lain حرام لغيره / haram lighairihi?
Melihat
perempuan itu haram sebab apa? Adakah semata-mata pandangan kepada
perempuan itu haram atau pandangan itu haram disebabkan unsur luaran
lain?
Tentunya
pandangan yang diharamkan adalah pandangan yang disertai dengan
syahwat, pandangan yang menggoda dan bernafsu. Itulah sebab kepada
pengharaman pandangan bukan semata-mata kerana pandangan biasa.
Suara
perempuan itu haram sebab apa? Adakah semata-mata suara kepada
perempuan itu haram atau suara itu haram disebabkan unsur luaran lain?
Tentunya
suara yang diharamkan adalah suara yang dilunakkan untuk menarik
perhatian, suara manja mendodoi, suara-suara gedik. Suara sebegitulah
yang diharamkan bukan semata-mata suara biasa.
Mengingati
perempuan itu? Adakah semata-mata ingat kepada perempuan itu haram atau
ingatan itu haram disebabkan unsur luaran lain?
Tentunya
ingatan yang diharamkan adalah ingatan yang membayangkan keseksian
susuk tubuh perempuan, membayangkan untuk bersetubuh dengan perempuan
dan bayangan yang membangkitkan berahi. Ingatan dan bayangan sebegitulah
yang diharamkan bukan semata-mata ingatan biasa.
Itulah
hal-hal yang dipanggil zina kecil. Pengakhiran yang menentukannya
adalah kemaluannya sama ada menjebakkannya ke kancah perzinaan hakiki
atau tidak.
SEJAUH MANA DOSA ZINA TANGAN, KAKI, TELINGA, MATA, LIDAH, HATI?
Ibnu Mas’ud mengatakan bahawa:
"فإن صدقه بفرجه كان زانيا وإلا فهو اللمم" أخرجه البيهقي في شعب الإيمان (5/393، رقم 7060)
Maksudnya:
“Jika dia mengiyakannya (kehendak berzina) dengan kemaluannya maka dia
menjadi penzina, jika tidak maka itu adalah Al-Lamam (dosa kecil)”.
Dikeluarkan oleh Imam Baihaqi dalam kitabnya Shu’abul Iman (5/393, no
7060).
Kata Ibnu Abbas pula:
"مَا
رَأَيْتُ شَيْئًا أَشْبَهَ بِاللَّمَمِ مِمَّا قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ عَن
النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (إِنَّ اللَّهَ عَزَّ
وَجَلَّ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنْ الزِّنَا أَدْرَكَهُ لَا
مَحَالَةَ وَزِنَا الْعَيْنِ النَّظَرُ وَزِنَا اللِّسَانِ النُّطْقُ
وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ أَوْ
يُكَذِّبُهُ)". رواه البخاري (8/67، رقم 5774) ومسلم (8/52، رقم 4801).
“Aku
tidak melihat sesuatu yang lebih menyerupai Al-Lamam itu kecuali
daripada kata-kata Abu Hurairah daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam
(Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak
berlaku ke atas anak-anak Adam. Zina mata itu adalah pandangan, zina
lidah itu adalah ucapan, nafsu mengharap dan berkeinginan, dan kemaluan
itu mengiyakan atau mendustakannya)”. Riwayat Imam Bukhari (8/67, no 5774), dan Imam Muslim (8/52, no 4801).
Apa
yang dimaksudkan dengan Al-Lamam??? Al-Lamam bermaksud dosa kecil yang
tidak akan selamat daripadanya kecuali mereka yang dilindungi dan dijaga
oleh Allah. Ibnu Mas’ud, Abu Said, Huzaifah, dan Masruq berpendapat
bahawa: Al-Lamam itu ialah selain daripada bersetubuh, sama ada ciuman,
sentuhan, pandangan, dan baringan. (Rujuk Tafsir Al-Qurthubi, jilid 17,
m/s 106, cetakan Dar Alamil kutub).
Perkataan Al-Lamam ini disebut dalam firman Allah dalam Al-Qur’an, Surah An-Najm , ayat ke-32 :
((وَلِلَّهِ
مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ لِيَجْزِيَ الَّذِينَ
أَسَاءُوا بِمَا عَمِلُوا وَيَجْزِيَ الَّذِينَ أَحْسَنُوا بِالْحُسْنَى
(31) الَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ إِلَّا اللَّمَمَ إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ الْمَغْفِرَةِ ...))
Maksudnya: ((Dan
bagi Allah segala yang di langit dan di bumi, supaya dia membalas
mereka yang berbuat buruk dengan apa yang mereka kerjakan, dan membalas
mereka yang baik dengan kebaikan. Mereka yang menjauhi dosa-dosa besar
dan perkara-perkara keji kecuali Al-lamam, Sesungguhnya Tuhan kamu Maha
Luas keampunannya…))
.
Contoh daripada hadith ini mungkin boleh membantu soal pengampunan dosa Al-Lamam:
أَنَّ
رُجلا أصَابَ من امرأَةٍ قُبْلَة، فأتَى النبيَّ صلى الله عليه وسلم، فذكر
ذلك له، فَنزلت ((وأَقِمِ الصَّلاةَ طَرَفَيِ النَّهارِ وَزُلَفا مِنَ
اللَّيْلِ، إنَّ الْحَسَناتِ يُذْهِبْنَ السَيِّئاتِ ذلكَ ذِكْرى
لِلذَّاكِرين)) [ هود : 116]. فقال الرجل : يا رسول اللّه، أَلِيَ هذه ؟
قال: «لمنْ عمل بها من أُمَّتي». أخرجه البخاري (1/140)، ومسلم (8/101).
Maksudnya:
Seorang lelaki telah mencium seorang perempuan, lalu dia datang bertemu
Nabi dan menceritakan perkara itu kepada Nabi”. Lalu turunlah ayat ((Dan
dirikanlah solat pada sebahagian hari dan hujung malam, sesungguhnya
kebaikan itu akan menghapuskan keburukan, itu adalah ingatan kepada
mereka yang mengingati)) [Surah Hud, ayat ke-116]. Lalu
lelaki tersebut berkata: “Wahai Rasulullah, adakah bagiku (sahaja) hal
ini? Sabda Nabi: (Bahkan bagi orang melakukannya daripada umatku). Riwayat Imam Bukhari (1/140) dan Imam Muslim (8/101).
Lelaki
tersebut telah melakukan zina kecil, iaitu mencium seorang perempuan
bukan mahram. Bagaimana untuknya menghapuskan dosa zina kecil tersebut?
Jawabnya adalah dengan berbuat kebaikan, insyaAllah kebaikan yang dibuat
itu akan menghapuskan dosa yang dilakukan.
APA HUKUM BERCINTA?
Pertamanya,
apa maksud bercinta itu? Adakah maksudnya memiliki dan berkongsi
perasaan cinta antara lelaki dan perempuan? Atau maksudnya keluar
berdua-duaan dan bermesra dengan jalan berpimpin tangan dan segala
aktiviti lain?
Saya
rasa semua bersetuju bahawa kalau maksudnya keluar berdua-duaan dan
bermesra dengan jalan berpimpin tangan dan segala aktiviti lain maka
saya kira semua daripada kita akan bersetuju tentang keharamannya.
Tetapi
kalau maksudnya, memiliki dan berkongsi perasaan cinta antara lelaki
dan perempuan, apakah juga termasuk dalam perkara yang haram? Apakah
yang salahnya di situ? Mungkin ada yang akan menjawab, tak boleh, kerana
bercinta sebelum kahwin itu akan mengundang dosa dengan melakukan
perkara-perkara tak baik.
Baik
kalau begitu, bercinta itu tidak haram pada asalnya tetapi bertukar
menjadi haram kerana tidak mematuhi batas-batas yang dibenarkan. Pendek
kata, pengharaman itu berlaku bukan pada perasaan tersebut tetapi pada
perkara luar. Atau dengan bahasa usul Fiqhnya cinta itu bukannya حرام لذاته / haram lizatihi, tetapi bertukar menjadi حرام لغيره / haram lighairihi kerana perkara lain.
Bermakna selagi mana batas-batas pergaulannya terjaga maka cinta itu tiada sebab dan alasan untuk diharamkan.
Justeru,
tidak sepatutnya wujud antara kita yang semudah-mudahnya mahu menghukum
mereka yang menyimpan perasaan cinta antara satu sama lain itu sebagai
haram kerana perasaan cinta itu adalah fitrah manusia yang suci. Hanya apabila batas-batas pergaulan dilanggar barulah hukumnya bertukar menjadi haram.
Makan
daging lembu itu adalah halal, tetapi makan daging lembu yang dicuri
adalah haram, bukan kerana daging itu, tetapi kerana masalah curi. Bagi
menghalalkan kembali daging tersebut, bayar sahaja wang harga daging
kepada tuan punyanya.
Begitu
juga dengan cinta. Menyimpan dan berkongsi perasaan cinta dengan bukan
mahram itu adalah satu perkara fitrah dan diharuskan dalam agama, tetapi
apabila perasaan itu disertai dengan kehendak untuk persetubuhan haram
(zina), maka diharamkan, bukan kerana perasaan tersebut tetapi kerana
niat untuk persetubuhan haram tersebut. Justeru, bagi menghalalkan
kembali hubungan cinta yang terjalin, perkara-perkara haram yang timbul
perlu dibuang.
Memiliki
dan berkongsi perasaan cinta ini yang halal ini diperakui oleh Nabi
Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh
Ibnu Abbas:
عن
ابن عباس رضي الله عنهما أن رجلاً قال: "يا رسول الله في حجري يتيمة قد
خطبها رجل موسر ورجل معدم، فنحن نحب الموسر وهي تحب المعدم، فقال رسول الله
صلى الله عليه وسلم: (لم نر للمتحابين غير النكاح)". أخرجه ابن ماجه (1/593، رقم 1847)، والطبرانى (11/17، رقم 10895)، والحاكم(2/174، رقم 2677) وقال: صحيح على شرط مسلم، والبيهقى (7/78، رقم 13231).
Maksudnya:
Daripada Ibnu Abbas, bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi: “Wahai
Rasulullah, aku ada memelihara seorang anak yatim perempuan. Dia dilamar
oleh orang kaya dan orang miskin. Kami suka kalau dia memilih yang
kaya, tetapi dia cinta kepada yang miskin. Maka berkata Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam: (Kami tidak melihat perkara yang sesuai bagi orang yang saling menyintai itu kecuali kahwin)”. Hadith
diriwayatkan oleh Ibnu Majah (1/593, no 1874), At-Tabarani (11/17, no
10895), Al-Hakim (2/174, no 2677) dan berkata bahawa “hadith ini sahih
mengikut syarat Imam Muslim”, dan Imam Baihaqi (7/78, no 13231).
Nabi
langsung tidak mencela perasaan cinta yang dimiliki anak yatim
perempuan tersebut sebelum berkahwin. Nabi hanya berkata bahawa perkara
yang sesuai kepada orang yang saling menyintai itu adalah kahwin.
Hadith seterusnya berkenaan cinta Mughith kepada Barirah:
عَنْ
ابْنِ عَبَّاسٍ: أَنَّ زَوْجَ بَرِيرَةَ كَانَ عَبْدًا يُقَالُ لَهُ
مُغِيثٌ كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَيْهِ يَطُوفُ خَلْفَهَا يَبْكِي وَدُمُوعُهُ
تَسِيلُ عَلَى لِحْيَتِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ لِعبَّاسٍ: يَا عَبَّاسُ، أَلَا تَعْجَبُ مِنْ حُبِّ مُغِيثٍ
بَرِيرَةَ وَمِنْ بُغْضِ بَرِيرَةَ مُغِيثًا). فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (لَوْ رَاجَعْتِهِ). قَالَتْ: يَا رَسُولَ
اللَّهِ تَأْمُرُنِي؟ قَالَ: (إِنَّمَا أَنَا أَشْفَعُ) قَالَتْ: لَا
حَاجَةَ لِي فِيهِ. أخرجه
البخارى (5/2023، رقم 4979)، وأبوداود (2/270، رقم 2231)، والنسائى
(8/245، رقم 5417)، وابن ماجه (1/671، رقم 2075)، وأخرجه أيضًا ابن حبان
(10/96، رقم 4273).
Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas (dia berkata): “(Bekas)
Suami Barirah adalah seorang hamba dipanggil Mughith. Seolah-olah aku
melihatnya sekarang mengekori belakang Barirah dengan bercucuran air
mata atas janggutnya. Nabi lalu berkata kepada Abbas: (Wahai Abbas,
tidakkah engkau takjub dengan kecintaan Mughitgh kepada Barirah, dan
kebencian Barirah kepada Mughith?. Kata Nabi kepada Barirah: (Kalaulah
kamu dapat kembali kepadanya). Barirah lalu berkata: “Wahai Rasulullah,
adakah kamu memerintahkan aku? Nabi berkata: (Aku hanya menjadi juru
runding). Barirah berkata: “Aku tak punya hajat pada Mughith”.Hadith
riwayat Imam Bukhari (5/2023, no 4979), Abu Daud (2/270, no 2231), Imam
An-Nasa’I (8/245, no 5417), Ibnu Majah (1/671, no 2075), juga Ibnu
Hibban (10/96, no 4273).
Apa yang dapat difahami daripada hadith ini adalah:
1) Nabi tidak pernah melarang Mughith daripada terus mencintai Barirah walaupun Barirah telah menjadi ajnabiyyah buatnya.
2)
Nabi bahkan mengambil inisiatif bagi melihat cinta itu berjaya dengan
memujuk Barirah supaya kembali kepada Mughith, tetapi apakan daya
Barirah tetap menolak.
3)Nabi
tidak memberikan sebarang komen terhadap Mughith yang setia mengekori
Barirah untuk memujuknya. Bahkan Nabi bersabda kepada Abbas: (Tidakkah engkau takjub dengan kecintaan Mughitgh kepada Barirah, dan kebencian Barirah kepada Mughith?)
Lihat
bagaimana ajaran Islam yang bersifat sesuai dengan realiti kehidupan
berdepan dengan masalah manusia. Sayangnya ajaran Islam yang bersifat
realistik dan meraikan fitrah manusia ini, dicemarkan oleh sebahagian
daripada kita yang terlampau bersemangat dalam membasmi masalah gejala
sosial, sehingga dalam sedar atau tidak sedar mereka turut membasmi
fitrah manusia dan menjadikan ajaran Islam seolah-olah hanya merupakan
fantasi kehidupan yang tidak pernah wujud.
Islam
datang bukan untuk berkata: “Jangan menyintai dan buang perasaan cinta
itu”, tetapi datang dengan mengajarkan kita bahawa andainya kamu jatuh
cinta, maka barhati-hatilah agar cinta itu tidak membuatkan kamu
terpesong daripada kebenaran.
Islam
juga datang bukan untuk mengatakan kepada kita: “Jangan kamu membenci
sesama kamu”, tetapi datang untuk mengajarkan andainya kamu membenci
seseorang maka biarlah berpada-pada jangan sampai membutakan kamu
daripada kebenaran.
Jatuh cinta adalah perkara yang tidak mampu dikawal, hal itu terletak pada
kuasa Allah dan Allah tidak akan menzalimi hambaNya dengan membebankan
mereka dengan perkara-perkara yang tidak mereka mampu melakukannya.
Masalah yang diperbahaskan dalam ilmu usul fiqh sebagai التكليف بما لا يطاق / Attaklif bima la yutaq.
Sedangkan
Nabi sendiri pun meminta pengecualian daripada Allah dalam urusan
berlaku adil antara isterinya dalam perkara yang melibatkan hati dan
perasaan.
عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ
النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْسِمُ بَيْنَ
نِسَائِهِ فَيَعْدِلُ، وَيَقُولُ: (اللَّهُمَّ هَذِهِ قِسْمَتِي فِيمَا
أَمْلِكُ فَلَا تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلَا أَمْلِكُ). قال الترمذي:
إِنَّمَا يَعْنِي بِهِ الْحُبَّ وَالْمَوَدَّةَ كَذَا فَسَّرَهُ بَعْضُ
أَهْلِ الْعِلْمِ. أخرجه الترمذي (1140)، وأبو داود (2134)، والنسائي
(7/63).
Maksudnya: “Daripada Aisyah bahawa Nabi membahagikan antara isteri-isterinya dengan adil dan dia berkata: (Ya
Allah, ini adalah pembahagian aku daripada apa yang aku miliki,
janganlah Engkau mencela aku pada perkara yang Engkau miliki tapi tidak
aku miliki). Berkata Imam Tirmizi: Sesungguhnya yang dimaksudkan itu adalah perasaan cinta dan sayang sebagaimana tafsiran ahli ilmu. Hadith dikeluarkan oleh Imam Tirmizi (1140), Imam Abu Daud (2134), dan Imam Nasa’I (7/63).
Jelas
melalui hadith tersebut bahawa perasaan cinta dan sayang tidak mampu
dikawal oleh manusia. Mustahil bagi seorang lelaki yang beristeri empat
contohnya mahu berlaku adil terhadap isteri-isterinya dalam soal hati
dan perasaan. Sebab itu Nabi sendiri memohon kepada Allah supaya tidak
mencelanya pada perkara yang tidak dimiliki olehnya dan tidak termampu
baginya untuk melakukan.
Hal
sebegini disedari dengan baik oleh para sahabat. Dalam suatu kisah yang
melibatkan Sayyidina Umar sendiri diceritakan bahawa telah datang
kepadanya seorang lelaki dan berkata: “Wahai Amir Mukminin, sesungguhnya aku telah melihat seorang perempuan lalu aku jatuh cinta kepadanya”. Lalu Sayyidina Umar Bin Khattab berkata: “Itu adalah perkara yang tidak mampu dikawal”. Rujuk Al-Jawab Al-Kafi oleh Ibnul Qayyim, m/s 164, cetakan Darul Kutubil Ilmiyyah.
Hal
ini berlaku kerana sememangnya manusia itu akan mudah jatuh cinta
kepada sesiapa yang berkongsi keserasian dengannya, bak sabda Nabi dalam
sebuah hadith:
)الأرواح جنود مجندة فما تعارف منها ائتلف وما تناكر منها اختلف(. أخرجه البخارى (3/1213، رقم 3158).
Maksudnya: (Roh-roh
itu adalah ibarat tentera yang saling berpasangan, mana-mana roh yang
secocok maka roh-roh itu akan bersatu, mana-mana roh yang tak secocok
maka roh-roh itu akan berselisih). Dikeluarkan oleh Imam Bukhari (3/1213, no 3158).
No comments:
Post a Comment